Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Berkenan berangkat ke Sambutan 75 Tahun Pengakap Tunas
17/06/2025



Sejak penubuhannya pada awal tahun 1950, pergerakan Pengakap Tunas di Negara Brunei Darussalam (NBD) telah banyak memainkan peranan penting dalam mendidik dan membentuk secara berterusan nilai-nilai murni seperti disiplin, kepimpinan, kerja berpasukan dan tanggungjawab dalam kalangan kanak-kanak.

Sehubungan itu, Sambutan 75 Tahun Penubuhan Pengakap Tunas merupakan satu peristiwa penting dalam sejarah pergerakan pengakap yang bertujuan menghargai pencapaian, perkembangan dan sumbangan besar yang telah dimainkan oleh Pengakap Tunas dalam membentuk generasi muda negara sejak awal penubuhannya.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, juga selaku Ketua Pengakap Persekutuan Pengakap NBD (PPNBD) berkenan berangkat ke Sambutan 75 Tahun Pengakap Tunas di NBD dan Perasmian Pusat Latihan dan Perkhemahan Pengakap, PPNBD, hari ini.

Berangkat sama paduka adinda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota di Pusat Latihan dan Perkhemahan Pengakap, PPNBD dijunjung oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, selaku Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, selaku Pemangku Menteri Pendidikan; Yang Dipertua PPNBD, Dato Paduka Ar. Haji Idris bin Haji Abas; Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Awang Haji Junaidi bin Haji Husin serta Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan.

Sejurus keberangkatan tiba, Lagu Kebangsaan NBD 'Allah Peliharakan Sultan' dimainkan.

Seterusnya lafaz Persetiaan Pengakap Tunas diketuai oleh Abdul Hasbul Wakeel bin Haji Bolkiah, Ahli Pengakap Tunas 1054, Sekolah Rendah Pengiran Anak Puteri Besar, Sungai Kebun.

Manakala bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Mohammad Arif Fahmi bin Fariszal, Ahli Pengakap Tunas 1075, Sekolah Rendah Sengkurong.

Dalam sembah alu-aluannya, Yang Dipertua PPNBD, Dato Paduka Ar. Awang Haji Idris antara lain mengongsikan objektif sambutan berkenaan adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang peranan pengakap dalam pembangunan kanak-kanak.

Pada masa yang sama tambahnya, ia juga bagi mewujudkan hubungan baik antara pengakap dan masyarakat.

Menyentuh mengenai pembinaan Pusat Latihan dan Perkhemahan Pengakap, PPNBD, Yang Dipertua PPNBD berharap ia akan dapat digunakan sepenuhnya oleh ahli-ahli pengakap daripada berbagai-bagai peringkat umur.

“Semoga ia akan bermanfaat dan memudahkan untuk menjalankan apa-apa jua kursus-kursus dan keperluan-keperluan latihan dan prasarana yang diperlukan. Dalam masa yang sama kita juga dapat memberikan bantuan dan kemudahan kepada masyarakat umum yang memerlukan fasiliti-fasiliti yang ada untuk diguna pakai untuk kebaikan bersama.

“InsyaaAllah kita akan terus menambah baik pusat latihan ini dengan apa-apa jua yang berkenan dan diperlukan pada masa depan. Kita juga dapat menyediakan tempat perkhemahan yang boleh menampung lebih 200 orang, cukup dengan kelengkapan-kelengkapan bilik air dan tandas. Juga menyediakan alat-alat berhalangan untuk latihan fizikal," dalam sembahnya.

Pada majlis tersebut, Duli Yang Teramat Mulia berkenan mengurniakan sabda dan menyempurnakan perasmian Sambutan 75 tahun Pengakap Tunas dan perasmian Pusat Latihan dan Perkhemahan Pengakap, PPNBD diikuti dengan menandatangani plak perasmian dan lembaran kenangan.

DYTM seterusnya dijunjung menyempurnakan pengurniaan Waran Pesuruhjaya-pesuruhjaya Pengakap dan Sijil-sijil Penghargaan kepada pengetua, guru-guru besar sekolah dan ketua kampung yang mempunyai pasukan pengakap.

Sebanyak 27 Waran Pesuruhjaya telah dianugerahkan kepada individu yang dilantik bagi tempoh perkhidmatan dari tahun 2025 hingga 2029. Manakala penerima Sijil-sijil Penghargaan adalah kepada sekolah-sekolah bagi peringkat rendah dan menengah juga kampung-kampung yang mempunyai Pasukan Pengakap.

DYTM kemudiannya dijunjung bagi menerima pesambah. Bagi memberkati majlis, Doa selamat dipimpin oleh Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Keugamaan, Awang Haji Rosaimi bin Haji Othman.

Seterusnya DYTM dijunjung berangkat bagi menyaksikan pameran-pameran dan permainan yang diketengahkan bagi sambutan berkenaan antaranya ialah aktiviti yang berasaskan permainan tradisi Brunei, sukan dan cabaran minda. DYTM juga dijunjung untuk bergambar ramai di pentas yang telah disediakan.

Setelah itu lawatan DYTM diteruskan lagi ke kawasan Kelab Radio Amatur PPNBD dan menyaksikan 'Monkey Bridge' iaitu sejenis jambatan 'pioneering' yang dibina khas sebelum mengakhiri lawatan ke kawasan perkhemahan yang terdiri daripada peserta-peserta Kursus 6 Sekawan.

Keberangkatan DYTM ke majlis ini merupakan manifestasi jelas akan komitmen berterusan DYTM dalam usaha pembangunan belia, khususnya melalui Pergerakan Pengakap, selaku Ketua Pengakap.

Dengan tema 'Pengakap Tunas Kitani, Masa Depan Kitani', sambutan ini menegaskan komitmen berterusan PPNBD dalam melahirkan generasi muda yang berdaya tahan, berdedikasi dan berbakti kepada agama, bangsa dan negara melalui pendidikan bukan formal yang progresif dan inklusif.

Selaras dengan tema ini, moto Pengakap Tunas 'Buat Habis Baik' menjadi pegangan utama setiap ahli dalam melaksanakan tugasan dan amanah yang diberikan, sekali gus mendidik mereka untuk berusaha bersungguh-sungguh, berdisiplin, jujur serta tidak mudah berputus asa.

Pergerakan Pengakap Tunas atau Wolf Cubs diperkenalkan oleh pengasas Pengakap Sedunia, Lord Baden Powell, pada tahun 1916 di London, sebagai respons terhadap keperluan latihan berstruktur untuk kanak-kanak yang lebih muda. Sejak itu, pergerakan ini terus berkembang pesat dan mendapat sambutan meluas di seluruh dunia, termasuklah di NBD.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto